Background

UNIT 8 : KESAN KEGIATAN MANUSIA TERHADAP ALAM SEKITAR


Objektif :
Dalam unit ini anda akan dapat :
-          Memahami kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
-          Mengetahui langkah-langkah untuk mengurangkan kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
-          Merumuskan kesan jika alam sekitar tidak dipelihara

Alam sekitar yang luas terbentang ini akan diwarisi oleh anak-anak sekarang. Oleh sebab itu, mereka harus belajar bertanggungjawab menjaga keadaan alam sekitar dari sekarang jika tidak mahu alam sekitar tercemar dan musnah.
            Dalam unit ini, anda akan memahami kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar. Anda juga akan memelihara langkah-langkah yang diambil untuk memelihara dan memulihara alam sekitar untuk mengurangkan kesan daripada kegiatan-kegiatan itu.

8.1 Kesan Kegiatan Manusia terhadap Alam Sekitar
Penebangan Pokok dan Kesannya

Lihatlah Foto 8.1 di bawah ini, asalnya kawasan ini adalah hutan yang tebal. Kini, hutannya sudah ditebang. Hutan ditebang untuk pelbagai tujuan. Antaranya termasuklah untuk pembalakan, pembinaan jalan raya, petempatan, kilang, perlombongan mineral dan pertanian.


Foto 8.1 Kawasan hutan yang telah ditebang


Tanah dan permukaan bumi di kawasan tersebut terdedah pada hakisan air hujan dan angin. Air hujan yang turun akan memecahkan tanah di permukaan bumi dan mengalir ke sungai-sungai. Apabila aliran sungai menjadi perlahan, tanah dan lumpur yang dibawa bersama itu akan mendap di dasar sungai. Dasar sungai pun akan menjadi cetek. Semasa hujan lebat, isi padu air sungai akan bertambah.

            Air yang berlebihan ini membanjiri kawasan di sekitar sungai. Hal yang demikian membawa beberapa kesan buruk kepada alam sekitar. Air sungai akan tercemar oleh lumpur yang berlebihan. Banjir juga mudah berlaku.

Rajah 8.1 Pemendapan air berlumpur mencetekkan dasar sungai – banjir pun mudah berlaku


            Selain itu, suhu di kawasan yang terdedah itu akan meningkat. Permukaan bumi pula akan dipanaskan secara berterusan oleh matahari kerana tiada tumbuhan sebagai perlindungan. Udara di sekitarnya turut menjadi panas oleh sebab keadaan permukaan bumi yang panas. Di kawasan itu, angin dapat bergerak tanpa halangan.



Rajah 8.2 Keadaan redup di hutan



Rajah 8.3 Suhu permukaan bumi meningkat



Penebangan hutan dapat juga menyebabkan pelbagai jenis tumbuhan semula jadi musnah. Hidupan liar pula akan kehilangan habitatnya. Haiwan, burung dan serangga terpaksa berpindah. Apabila hal ini berlaku, ekosistem di hutan ini tergugat.

            Kegiatan penebangan hutan di kawasan tanah tinggi secara berleluasa akan menjejaskan kawasan tadahan dan sumber air. Keadaan ini akan membawa kesan yang lebih buruk terhadap bekalan air kita serta terhadap keadaan alam sekitar.

Kegiatan Pertanian dan Kesannya

Manusia menggunakan pelbagai teknik moden untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman. Baja kimia digunakan untuk meningkatkan kesuburan tanih. Racun serangga digunakan untuk mengawal makhluk perosak. Penggunaan baja kimia, racun serangga, racun kulat dan racun herba akan meninggalkan bahan toksik yang tidak larut air di kawasan sekitar. Contohnya ialah plumbum dan zink dalam baja kimia tidak mudah pupus dan akan terkumpul di dalam tanah. Keadaan ini menyebabkan bahan asid dalam tanah meningkat.

            Apabila hujan, bahan tersebut dibawa air hujan ke dalam sungai. Begitulah pencemaran di Sungai Muda yang tercemar oleh penggunaan baja kimia dan racun serangga di kawasan Muda di Dataran Kedah-Perlis. Keadaan begini berlaku juga di Sungai Kelantan di kawasan Kemubu, Kelantan.



Foto 8.2 Petani menyemburkan racun serangga


Pembinaan Jalan Raya

Pembinaan lebuh raya dan jalan raya di cerun curam adalah kerja yang berbahaya dan sukar dilaksnakan. Sebahagian Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Karak dibina di kawasan cerun tanah tinggi. Kerja memotong cerun bukit untuk membina jalan raya ini menyebabkan kejadian hakisan cerun oleh air hujan.

            Gelongsoran tanah dan tanah runtuh sering berlaku di kawasan ini. Pada 30 Januari 1995, pergerakan aliran lumpur dan batu menurun ke jalan raya di Genting Sempah menuju ke Tanah Tinggi Genting menyebabkan 21 orang terbunuh dan 22 orang cedera. Pada Januari 1996, tanah runtuh berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat dengan Gua Tempurung, Ipoh. Kajian menunjukkan bahawa tanah runtuh ini mungkin berlaku sebagai akibat hakisan tanah dan air yang bertakung di atas cerun bukit.



Foto 8.3 Kejadian gelongsoran tanah



8.2 Langkah-langkah Mengurangkan Kesan Kegiatan Manusia terhadap Alam Sekitar

Segala kegiatan manusia yang membawa kesan buruk terhadap alam sekitar perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Selain mengawal kegiatan-kegiatan tersebut supaya tidak dilakukan secara berleluasa, langkah-langkah untuk mengurangkan kesan perlu juga diambil. Antaranya termasuklah penanaman semula, penggunaan kaedah biologi dalam pertanian dan pemeliharaan cerun tinggi.


Penanaman Semula




Foto 8.4 Penanaman pokok 



Usaha pemuliharaan hutan dijalankan melalui penanaman semula pokok-pokok. Jabatan Perhutanan memastikan kawasan yang telah ditebang secara haram atau secara sah ditanam semula. Contohnya, spesies pokok yang cepat tumbuh dan bermutu seperti akasia, batai dan sesenduk ditanam di Bukit Tinggi di Pahang. Pokok medang teja pula ditanam di negeri Kedah. Hal ini memastikan bekalan kayu yang bermutu berterusan. Kawasan hutan paya air masin yang telah ditebang juga ditanam semula. Contohnya ialah penanaman semula pokok bakau di Hutan Simpan Paya Laut di Larut Matang, Perak. Selain itu, hutan semula jadi dipelihara supaya dapat hidup dengan baik dan tidak diceroboh.

Penggunaan Kaedah Biologi dalam Pertanian

Petani-petani digalakkan menggunakan baja organik atau baja asli untuk menggantikan penggunaan baja kimia. Baja organik dapat diperoleh daripada najis haiwan dan sisa tanaman. Baja jenis ini adalah murah dan tidak perlu diproses. Contohnya, peladang lada hitam di Sarawak menggunakan guano (najis burung dan kelawar) sebagai baja.

            Pengusaha ladang sawit di Malaysia sudah menggunakan kaedah biologi untuk mengawal makhluk perosak. Ular dan burung hantu digunakan di ladang kelapa sawit untuk menangkap tikus yang memakan buah kelapa sawit. Di ladang kelapa sawit dan koko pula, sejenis lalat digunakan untuk mengawal ulat karung (larva sejenis kupu-kupu) yang memakan daun pokok-pokok. Lalat ini bertelur di dalam badan ulat karung. Apabila telur lalat itu menetas, larva lalat itu akan memakan ulat karung tersebut. Kaedah-kaedah biologi ini dapat menggantikan penggunaan racun kimia yang akan mencemarkan alam sekitar.



Pemeliharaan Cerun Tinggi

Pembinaan jalan raya di kawasan cerun curam kini dilaksanakan dengan lebih terancang. Kawasan cerun curam akan diadakan. Tebing curam kaki bukit akan ditarah untuk mengurangkan kecerunan jalan raya. Perhatikan Foto 8.5 ini.



Foto 8.5 Tarahan dibuat untuk merendahkan kecerunan jalan raya



Cerun bukit yang telah ditarah mudah mengalami hakisan. Oleh sebab itu, langkah pemeliharaan cerun bukit perlu dilakukan. Aliran air di kawasan tersebut diperbaiki melalui pembinaan longkang konkrit di cerun. Telaga dikorek di cerun untuk mengeluarkan air yang berlebihan. Paip dimasukkan ke dalam tanah di cerun tersebut untuk memungkinkan air mengalir keluar. Hal ini akan mengelakkan air bertakung dan gelongsoran tanah dapat dielakkan di kawasan tersebut.


8.3 Rumusan tentang Kesan-kesan yang Dialami

Dalam pembangunan sebuah negara, pelbagai kegiatan dilakukan manusia. Kegiatan-kegiatan ini ada yang mendatangkan kesan buruk terhadap alam sekitar. Jika dibiarkan begitu saja, kesan-kesan tersebut akan merosakkan alam sekitar dan kesejahteraan hidup kita akan turut terancam.

            Penebangan hutan yang berterusan tanpa kawalan dan langkah-langkah pemuliharaan akhirnya akan menjadikan negara kita kawasan yang kontang. Tiada lagi tumbuh-tumbuhan untuk melindungi bumi daripada tindakan hujan lebat atau terik matahari. Suhu alam sekitar akan menjadi terlalu panas. Hakisan tanah dan gelongsoran tanah dapat berlaku di mana-mana saja. Banjir kilat dan banjir lumpur akan sering berlaku. Sungai-sungai akan dicemari dengan air berlumpur.

            Penggunaan baja kimia dan racun serangga secara leluasa akan menyebabkan bahan toksik, seperti plumbum dan zink dalam tanah bertambah. Keasidan tanah akan meningkat dan tanah tidak sesuai lagi digunakan untuk pertanian. Sehubungan dengan itu, pengeluaran tanaman akan menjadi kurang dan kita mungkin mengalami masalah kekurangan makanan.

            Alam sekitar adalah sebahagian daripada hidup kita. Alam sekitar yang tercemar akan menjejaskan mutu hidup manusia. Kita akan hidup dalam keadaan yang tidak selesa, malah mungkin juga dalam keadaan yang mengancam nyawa.

            Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar perlu diberi perhatian yang serius. Kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar perlu ditanam di jiwa setiap anggota masyarakat agar kita dan generasi akan datang dapat hidup dengan selesa.



Rumusan 




KEMBALI KE ATAS

Categories: Share

Leave a Reply