Background

UNIT 6 : BENTUK MUKA BUMI


Objektif :
Dalam unit ini anda akan dapat :
-          Memahami kepelbagaian bentuk muka bumi di Malaysia
-          Memahami sistem gunung lipat
-          Mengetahui taburan tanah pamah dan dataran Negara Malaysia
-          Mengetahui pelbagai bentuk muka bumi pinggir laut Negara Malaysia
-          Memahami profil sungai

Malaysia terletak di tenggara benua Asia. Perhatikan Peta 6.1. Kedudukan Malaysia ialah antara garis lintang 1°U hingga 7°U dan menganjur dari garis bujur 100°T hingga 120°T. Semenanjung Malaysia merupakan sambungan daripada tanah besar Asia. Sabah dan Sarawak pula terletak di Pulau Borneo.

            Keluasan Malaysia ialah kira-kira 329 758 km persegi. Terdapat pelbagai bentuk muka bumi di Negara ini. Kita akan meneliti ciri bentuk muka bumi Malaysia dan keistimewaannya secara terperinci.


Peta 6.1 Kedudukan Malaysia di dunia

6.1 Kepelbagaian Bentuk Muka Bumi di Malaysia

Malaysia mempunyai pelbagai bentuk muka bumi yang indah. Terdapat tanah tinggi, tanah pamah, lembangan, dan pinggir laut. Kawasan bukit, gunung dan banjaran membentuk kawasan tanah tinggi. Malaysia banyak mempunyai banjaran, contohnya Banjaran Titiwangsa, Banjaran Crocker dan Banjaran Kapuas Hulu yang bergunung-ganang. Ketinggian gunung-gunung ini berbeza-beza. Perhatikan Peta 6.2


Peta 6.2 Malaysia : Bentuk muka bumi


Peta 6.2 Kedudukan dan Keistimewaan Pelbagai Bentuk Muka Bumi di Malaysia

Malaysia terletak di persimpangan jalan laut dan laluan udara antarabangsa, iaitu dari timur ke barat dunia. Kedudukan yang strategik ini menjadikannya masyhur dan penting sebagai pusat pedagangan antarabangsa. Banyak kapal dari barat seperti Eropah dan Amerika yang menggunakan di Selat Melaka untuk ke negara-negara timur seperti Jepun dan China.

            Bentuk muka bumi yang pelbagai itu memungkinkan pelbagai kegiatan ekonomi dijalankan di Malaysia. Kawasan tanah tinggi dan pinggir laut sesuai untuk aktiviti pelancongan. Pinggir pantai yang berteluk-teluk menggalakkan kegiatan perikanan dijalankan. Kawasan tanah pamah dan kaki bukit yang beralun pula menggalakkan pelbagai kegiatan pertanian.

Peta 6.3 Rangkaian Banjaran Gunung di Malaysia 

Peta 6.3 Malaysia : Kawasan tanah tinggi dan banjaran-banjaran utama

Di semenanjung Malaysia, kawasan tanah tinggi terletak di bahagian tengahnya. Kawasan pergunungan ini adalah tinggi di utara dan semakin rendah ke arah selatan. Di bahagian utara terdapat Banjaran Kedah-Singgora. Banjaran Bintang menganjur dari Thailand dan merentasi negeri Perak. Kemuncak yang tertinggi di banjaran ini ialah Gunung Bintang (1862 m).

            Banjaran Titiwangsa terletak di timur Banjaran Bintang. Banjaran ini menganjur dari sempadan Thailand ke Negeri Sembilan di selatan. Banjaran ini adalah banjaran yang terpanjang di Malaysia. Panjangnya kira-kira 500 km. Banjaran ini dikenal juga sebagai “tulang belakang” Semenanjung Malaysia. Ciri istimewa ini menjadikan Banjaran Titiwangsa sebagai banjaran yang utama di Semenanjung Malaysia. Gunung Korbu (2183 m) adalah gunung yang tertinggi di banjaran ini. Ke arah timur Banjaran Titiwangsa ialah Banjaran Benom, Banjaran Tahan dan Banjaran Pantai Timur. Gunung Tahan (2187 m), iaitu gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia terletak di Banjaran Tahan.

            Kira-kira 60% daripada kawasan Sabah terdiri daripada gunung-ganang. Kawasan tanah tinggi ini terletak di bahagian barat dan tengah Sabah. Banjaran Crocker merupakan banjaran utama di Sabah. Di banjaran ini terdapat gunung-ganang yang tinggi seperti Gunung Kinabalu dan Gunung Tambuyukon di bahagian utara. Gunung Kinabalu (4095 m) adalah gunung yang tertinggi di Malaysia.


Banjaran Titiwangsa


Gunung Kinabalu

Foto 6.1 Banjaran Titiwangsa dan Gunung Kinabalu merupakan habitat flora dan fauna.



Di Sarawak, kawasan banjaran gunung terletak di kawasan pedalaman. Purata ketinggian ialah 1200 m. kemuncak tertinggi di sini ialah Gunung Murud (2425 m) yang terletak di Banjaran Tama Abu. Banjaran ini adalah sambungan daripada Banjaran Crocker di Sabah. Pergunungan Iran terletak di sepanjang sempadan Kalimantan-Sarawak. Berhampiran dengan Banjaran Dulit dan Pergunungan Iran terdapat Dataran Tinggi Usun Apau dan Dataran Tinggi Merurong. Gunung Mulu adalah sebuah rabung yang banyak mempunyai gua batu kapur.


6.4 Bagaimanakah Banjaran Gunung di Malaysia Terbentuk?

Banjaran gunung di Malaysia terbentuk akibat proses lipatan kerak bumi. Gunung-gunung di Malaysia dikenal sebagai sistem gunung lipat. Sebelum mengetahui lebih lanjut tentang sistem gunung lipat, kita perlu memahami bagaimana gunung lipat terbentuk. Perhatikan Rajah 6.1 yang menunjukkan kuasa mampatan di bahagian kerak bumi.

Rajah 6.1 Proses pembentukan gunung lipat

Sistem Gunung Lipat Muda

Proses mampatan kerak bumi di benua Asia kira-kira 35 juta tahun dahulu telah membentuk sistem gunung lipat. Lipatan ini bermula dari Pusaran Pamir dan menganjur ke arah timur lalu membentuk Banjaran Himalaya, Banjaran Karakoram, Kunlun Shan dan Tien Shan.

            Banjaran yang terbentuk berhampiran pusat lipatan adalah tinggi-tinggi. Banjaran Himalaya adalah banjaran gunung yang terpanjang dan tertinggi di dunia. Banjaran ini mempunyai lebih 30 gunung yang mencapai ketinggian lebih daripada 7300 m. gunung tertinggi di dunia, iaitu Gunung Everest (8488 m), terletak di banjaran ini. Gunung yang kedua tertinggi di dunia, iaitu Gunung K2 terletak di Banjaran Karakoram.

            Proses lipatan dari Banjaran Himalaya bersambung dan menganjur ke tenggara dan melengkok ke selatan Asia Tenggara. Bukit Patkai, Bukit Naga dan Bukit Chin di Thailand dan Arakan Yoma di Myanmar terbentuk akibat proses lipatan ini.

Peta 6.5 Banjaran-banjaran gunung di Asia

Seterusnya, proses lipatan ini menganjur ke Asia Tenggara membentuk Banjaran Barisan di Sumatera, Banjaran Kapuas Hulu dan Pergunungan Iran di Sarawak serta Banjaran Crocker di Sabah. Pulau-pulau di luar pantai barat Sumatera seperti Pulau Nais, Kepulauan Mentawi, Pulau Timor dan Ceram turut terbentuk daripada proses lipatan ini, kita dapat memahami mengapa beberapa banjaran di Sabah dan Sarawak tinggi.

            Sebahagian Asia Tenggara mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana terletak dalam Lingkaran Api Pasifik. Contohnya Pulau Sumatera, Pulau Jawa dan Filipina. Kawasan ini terletak di pertembungan plat-plat yang retak dan tidak stabil. Di kawasan ini, lava dan batuan cecair mengalir keluar dan membentuk gunung berapi. Filipina dan Indonesia adalah negara di Asia Tenggara yang banyak mempunyai gunung berapi yang aktif. Contohnya, Gunung Mayon dan Gunung Pinatubo di Filipina serta Gunung Merapi dan Gunung Semeru di Indonesia.

Sistem Gunung Lipat Tua

Di benua Asia terdapat juga sistem gunung lipat tua. Gunung-gunung lipat tua ini terbentuk kira-kira 100 juta tahun dahulu dan terkenal sebagai Sistem Gunung Indo-Malaya. Dataran yang terbentuk daripada proses lipatan ini bermula dari Dataran Tinggi Yunnan di negara China dan menganjur ke Dataran Tinggi Shan di Myanmar, Banjaran Bilauktaung di Thailand, Banjaran Annam di Vietnam dan Banjaran Titiwangsa di Semenanjung Malaysia.

            Jika dibandingkan dengan kawasan gunung lipat muda, kawasan gunung lipat tua adalah lebih stabil kerana terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. Kawasan ini tidak mengalami gempa bumi atau letusan gunung berapi. Walau bagaimanapun, banjaran gunung di kawasan ini adalah lebih rendah kerana lebih banyak mengalami hakisan air dan angin.

6.5 Tanah Pamah

Jaluran tanah pamah pantai barat Semenanjung Malaysia menganjur dari Perlis di utara hingga ke Johor di selatan. Jaluran pantai barat ini adalah kira-kira 800 km panjang. Lebarnya berbeza-beza antara 20 hingga 65 km dari Pantai Selat Melaka ke kawasan tanah tinggi. Di sepanjang lembah sungai terdapat tanah pamah seperti lembah Sungai Perak di Perak, lembah Sungai Bernam di Selangor dan lembah Sungai Muar di Johor.

            Di kawasan tanah pamah ini terdapat juga dataran, iaitu di bahagian hilir sungai. Dataran adalah kawasan rendah yang lebih luas. Dataran-dataran yang lebih luas di pantai barat ialah Dataran Kedah, Dataran Perlis, Dataran hilir Sungai Perak, Dataran Pinggir Laut Selangor dan Tanah Rendah Beralun-alun Selatan.

Peta 6.7 Malaysia : Kawasan tanah pamah


Jaluran tanah pamah di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia menganjur dari Kelantan hingga ke Johor. Jaluran pantai timur ini tidak berterusan kerana terpotong-potong oleh kaki bukit Banjaran Pantai Timur. Lebar jaluran tanah pamah ini di antara 10 hingga 45 km. Di kawasan pantai timur terdapat lembah-lembah sungai seperti lembah Sungai Pahang, lembah Sungai Kelantan dan lembah Sungai Terengganu. Dataran yang luar terdapat di Dataran Kelantan, Dataran Terengganu dan Dataran Pahang.

            Tanah pamah di Sabah terdapat di pantai timur dan pantai barat. Kawasan tanah pamah di sebelah pantai timur lebih lebar daripada pantai baratnya. Kawasan dataran yang luas terdapat di bahagian hilir Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Kawasan tanah pamah di pantai barat dikenal sebagai Dataran Pinggir Laut Barat Sabah. Dataran ini adalah lebih sempit kerana Banjaran Crocker menganjur hampir dekat dengan laut.

            Kawasan tanah pamah di bahagian barat Sarawak adalah lebih panjang (650 km). tanah pamah ini dikenali sebagai Dataran Pinggir Laut Sarawak. Kawasan tanah pamah di sebelah barat daya adalah lebih lebar, khususnya di Delta Rajang. Lebarnya dataran ini kira-kira 80 km. Sungai Rajang yang panjang membentuk lembangan yang luas. Dataran pinggir laut di bahagian barat daya terputus-putus oleh gunung-gunung seperti Gunung Gading dan Gunung Serapi. Di sepanjang pinggir laut terdapat paya, pantai berlumpur dan kadang-kadang berpasir.

Kepentingan Kawasan Tanah Pamah

Kawasan tanah pamah di Malaysia menjadi tumpuan penduduk. Petempatan banyak dibina di tanah pamah. Contohnya petempatan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu. Bandar-bandar ini menjadi pusat perdagangan dan kewangan. Di sini banyak terdapat pejabat, bank dan institusi kewangan.

            Pertanian sesuai dijalankan di kawasan tanah pamah juga. Tanaman seperti padi, nanas, getah dan kelapa sawit ditanam di sini. Padi ditanam secara besar-besaran di Dataran Kedah, Dataran Perlis dan Dataran Kelantan.

            Di tanah pamah, sesuai juga dibina kilang. Contohnya Petaling Jaya dan Shah Alam di Lembah Klang dijadikan pusat perindustrian.

            Kawasan rendah dan rata ini memudahkan pembinaan jaringan pengangkutan. Landasan kereta api yang menghubungkan Padang Besar dan Johor Bahru dibina di jaluran tanah pamah pantai barat Semenanjung Malaysia. Lebuh Raya Utara-Selatan dibina juga sepanjang tanah pamah tersebut. Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang dibina di tanah pamah sepanjang pinggir laut.

6.6 Pinggir Laut

Malaysia mempunyai pinggir laut yang panjang. Panjangnya pinggir laut negara kita ialah kira-kira 4800 km. Semua negeri di Malaysia mempunyai kawasan pinggir laut, kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

            Pantai barat Semenanjung Malaysia, menghadap ke Selat Melaka. Pantai Timur Semenanjung Malaysia, pantai Sarawak dan pantai Barat Sabah menghadap ke Laut China Selatan. Manakala pantai timur Sabah menghadap ke laut Sulu.

            Malaysia dikelilingi laut yang cetek kerana terletak di atas pentas benua yang dikenal sebagai Pentas Sunda. Dalam laut ini berbeza-beza, iaitu antara 70 hingga 180 meter dan membolehkan cahaya matahari menembusi ke dasar laut. Sebahagiannya terbentuk kira-kira 550 juta tahun dahulu. Keadaan ini menggalakkan pertumbuhan plankton dan pembiakan ikan. Kawasan perairan Laut China Selatan kaya dengan kehidupan laut serta sangat sesuai untuk kegiatan perikanan.


Rajah 6.2 Keratan Rentas Pentas Laut


Rajah 6.3 Ciri fizikal di sepanjang pinggir laut
Pulau merupakan tanah dataran yang dikelilingi oleh laut. Di luar pinggir laut Malaysia terdapat kira-kira 270 buah pulau. Contohnya ialah Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan Pulau Banggi. Gugusan pulau di Langkawi terdiri daripada 99 buah pulau. Kebanyakan pulau mempunyai pantai yang berpasir dan berair jernih yang menjadi tempat tarikan pelancong. Kawasan perairan di luar Pulau Perhentian mempunyai terumbu karang yang indah. Perikanan sesuai dijalankan di sini. Banyak terdapat pelabuhan dan perkampungan nelayan di Pulau Pangkor, Pulau Ketam dan Pulau Perhentian.

            Tebing tinggi terbentuk apabila terdapat tebing batu-batan yang curam di pinggir laut yang terdiri daripada batuan keras yang tahan hakisan. Teluk dan tanjung pula terbentuk di kawasan pinggir laut yang mempunyai susunan batuan keras dan batuan lembut yang berselang-seli. Lapisan batuan lembut yang dihakis oleh ombak akan menjadi teluk, manakala lapisan batuan keras yang tahan hakisan akan menjadi tanjung. Tanjung menganjur ke laut dari dataran.

            Di negara kita banyak terdapat teluk dan tanjung. Antara beberapa contoh teluk termasuklah Teluk Ramunia di Johor serta Teluk Darvel dan Teluk Kimanis di Sabah. Antara beberapa contoh tanjung pula termasuklah Tanjung Tuan di Negeri Sembilan, Tanjung Piai di Johor dan Tanjung Bungah di Pulau Pinang. Pelabuhan Perikanan dan perkampungan nelayan sesuai didirikan di kawasan teluk kerana perairannya dalam dan terlindung. Kawasan tanjung sesuai dijadikan kawasan rekreasi dan pelancongan.


Rajah 6.4 Tebing tinggi


Rajah 6.5 (a), (b) Pembentukan teluk dan tanjung

Hakisan ombak terhadap batuan yang lembut di bahagian tebing tinggi akan membentuk gua. Hakisan yang giat di dua buah gua yang terbentuk secara bertentangan di sesuatu tanjung akan membentuk gerbang laut. Hakisan yang berterusan akhirnya akan meruntuhkan gerbang laut dan terbentuklah batu tunggul. Lama-kelamaan batu tunggul juga akan terhakis dan membentuk batu sisa.


Rajah 6.6 Pembentukan gua, gerbang laut, batu tunggul dan batu sisa


Foto 6.2 Bentuk-bentuk muka bumi pinggir laut di Malaysia

Pantai terbentuk akibat pemendapan pasir, kelikir dan batu-batu di sepanjang pinggir laut. Di Malaysia banyak terdapat pantai berpasir bersih yang menarik perhatian pelancong di dalam dan luar negara. Contohnya, Pantai Batu Feringghi, Pantai Port Dickson, Pantai Cherating dan Pantai Cahaya Bulan.

Foto 6.3 Pantai berpasir


Beting pasir terbentuk daripada timbunan pasir yang berhampiran dengan pantai. Pemendapan pasir dan kelikir di hadapan teluk dan muara sungai dengan sebahagiannya bercantum dengan pantai akan membentuk anak tanjung. Satu hujung anak tanjung akan bercantum dengan pantai, manakala yang satu lagi akan menganjur ke laut. Kawasan perairan yang dilindungi anak tanjung dikenal sebagai lagun.
            
Tombolo adalah beting pasir yang menyambungkan kawasan dataran dengan pulau.


Rajah 6.7 Pembentukan beting pasir, anak tanjung dan tombolo


6.7 Pola Saliran


Sistem saliran terbentuk di permukaan bumi apabila air hujan mengalir di atasnya. Terdapat beberapa jenis pola atau corak saliran. Contohnya pola saliran reranting, pola saliran jejala, pola saliran sepunca (jejari), pola saliran bawah tanah, pola saliran sejajar, pola saliran bersifat dan pola saliran darat. Perhatikan Rajah 6.8 yang berikut ini.






6.8 Sungai dan Tasik di Malaysia


Malaysia menerima hujan yang banyak sepanjang tahun. Kawasan tanah tinggi yang diliputi hutan merupakan kawasan tadahan hujan. Seterusnya, air hujan ini mengalir di permukaan bumi dan membentuk sungai-sungai yang banyak terdapat di seluruh negara.


Rajah 6.16 Peta Malaysia : Sungai-sungai uatam dan tasik

Di semenanjung Malaysia, sungai-sungai berpunca dari kawasan tanah tinggi di bahagian tengahnya. Di dataran pantai barat, sungai-sungai mengalir masuk ke Selat Melaka. Sungai-sungai di dataran pantai timur mengalir masuk ke Laut China Selatan.


            Di Sarawak, sungai-sungai berpunca dari tanah tinggi di kawasan pedalaman dan mengalir ke Laut China Selatan di sebelah barat. Di Sabah, sungai-sungai mengalir ke Laut Sulu di sebelah timur dan Laut Sulawesi di sebelah tenggara.

            Sungai Rajang di Sarawak merupakan sungai terpanjang di Malaysia. Sungai-sungai utama yang lain di Sarawak ialah Sungai Trusan, Sungai Limbang dan Sungai Baram. Sungai Kinabatangan di Sabah adalah sungai yang kedua terpanjang. Sungai-sungai utama yang lain ialah Sungai Labuk dan Sungai Segama.

            Sungai Pahang adalah sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia dan yang ketiga terpanjang di Malaysia. Sungai-sungai utama yang lain di Semenanjung Malaysia ialah Sungai Perak, Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Endau.

            Tasik-tasik semula jadi utama di Malaysia ialah Tasik Bera dan Tasik Chini di negeri Pahang. Tasik Bera adalah tasik semula jadi terbesar di Malaysia. Malaysia juga mempunyai tasik buatan. Contohnya Tasik Kenyir dan Tasik Temengor.


Foto 6.5 Air Terjun merupakan salah satu pusat rekreasi yang popular

Kepentingan Sungai


Sungai-sungai di Malaysia adalah sangat penting. Sungai Golok menjadi sempadan antarabangsa di antara negara kita dengan Thailand. Sungai Bernam pula menjadi sempadan negeri di antara negeri Selangor dengan negeri Perak. Di Sabah dan Sarawak, sungai-sungai penting sebagai laluan untuk membawa penumpang dan mengangkut barangan pukal seperti kayu balak dan beras. Contohnya, Sungai Rajang dan Sungai Kinabatangan.   

            Air dari sungai  dan tasik dibersihkan di loji-loji dan disalurkan kepada pengguna sebagai sumber bekalan air utama untuk kegunaan di rumah dan perindustrian. Air sungai digunakan juga untuk mengairi kawasan penanaman padi. Contohnya, Rancangan Pengairan Muda di Sungai Muda mengairi kawasan penanaman padi di Dataran Kedah-Perlis.       

            Sungai diempang di bahagian hulunya untuk menjana kuasa hidroelektrik. Contohnya ialah Empangan Kenyir di Sungai Terengganu dan Empangan Temengor di Perak. Sungai menjadi tempat rekreasi dan tarikan pelancong. Contohnya, Air Terjun Sekayu, di Terengganu dan Air Terjun Kota Tinggi, Johor. Sungai berperanan membekalkan sumber protein seperti ikan air tawar, udang dan ketam untuk penduduk tempatan.
                                                       

6.9 Profil Panjang dan Profil Rentas Sungai

Pada umumnya, sebatang sungai dapat dibahagikan kepada tiga peringkat aliran. Peringkat-peringkat itu ialah hulu, tengah dan hilir sungai yang mempunyai ciri berbeza. Perbezaan tersebut dapat kita lihat dengan jelas melalui profil panjang sungai dan profil rentas sungai.

PROFIL PANJANG SUNGAI DAN PROFIL RENSAS SUNGAI





Rumusan 




KEMBALI KE ATAS

Categories: Share

Leave a Reply