Pages

.

(^_^)

Sunday, December 16, 2012

UNIT 2 : ARAH


Objektif :
Dalam unit ini anda akan dapat :
-          Menentukan arah mengikut lapan arah mata angin dengan berpandukan kompas
-          Melukis lapan arah mata angin dengan berpandukan kompas
-          Menjelaskan arah mengikut lapan arah mata angin dengan menggunakan kompas        dari titik rujukan dalam peta lakar dan di kawasan sekolah

Kemahiran menentukan arah adalah perkara yang penting dalam hidup kita. Contohnya, kita perlu mencari arah yang betul semasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Kita dapat menentukan kedudukan sesuatu objek atau binaan dengan merujuk pada arah mata angin utama, misalnya utara, selatan, timur dan barat.
            Dalam unit ini, anda akan mempelajari cara menentukan sesuatu arah. Anda dapat juga mempelajari cara menggunakan kompas untuk menentukan arah sesuatu objek di lapangan atau objek dalam peta lakar.

2.1 Memahami Lapan Arah Mata Angin Utama

Arah ialah hala ke sesuatu tempat dari sesuatu tempat yang lain. Dalam sesuatu perjalanan atau pelayaran kita akan melalui pelbagai arah untuk sampai ke sesuatu tempat. Oleh itu, kita perlu menentukan arah yang betul supaya tidak tersesat.
            Pada umumnya terdapat lapan arah mata angin yang utama. Empat arah mata angin paling utama ialah utara (U), selatan (S), timur (T) dan barat (B). Di antara keempat-empat arah mata angin ini terdapat empat lagi arah mata angin. Arah-arah tersebut ialah timur laut (TL), tenggara (TG), barat daya (BD) dan barat laut (BL). Perhatikan Rajah 2.1 yang berikut.


Rajah 2.1 Lapan arah mata angin utama

Anda dapat menentukan arah mata angin dengan berpandukan matahari. Pada waktu pagi sewaktu matahari baru terbit, berdirilah di kawasan lapang. Depakan tangan. Tangan kanan anda mestilah menghala ke arah matahari terbit. Dengan berbuat sedemikian, anda akan menghadap ke utara. Arah selatan di belakang anda. Tangan kiri anda akan menunjukkan arah barat. Tangan kanan anda menunjuk ke arah timur. Perhatikan Rajah 2.2 ini.








Rajah 2.2 Cara menentukan arah mata angin dengan berpandukan matahari


Walau bagaimanapun, anda dapat menentukan kelapan-lapan arah mata angin dengan lebih mudah jika anda mempunyai kompas.


2.2 Menjelaskan Arah dengan Menggunakan Kompas

Para pelayar dan pengembara pada zaman dahulu menentukan arah dengan berpandukan matahari dan bintang-bintang di langit. Matahari dan bintang-bintang itu dijadikan titik rujukan untuk menentukan arah.

            Kini, arah dapat ditentukan dengan lebih mudah menggunakan kompas. Kompas adalah sejenis alat yang dibuat daripada logam. Jarum kompas dibuat daripada magnet. Oleh itu, kompas ini disebut sebagai kompas magnetik.

            Suatu tanda dibubuh pada hujung jarum itu. Hujung jarum yang bertanda itu akan sentiasa menunjuk ke arah Utara akibat tarikan magnet dari Kutub Utara Bumi.

            Pada permukaan kompas, lapan arah mata angin utama ditandakan. Dengan menggunakan kompas magnet ini anda dapat menentukan arah kedudukan sesuatu tempat dengan tepat.




Foto 2.1 Kompas moden – pada permukaannya terdapat petunjuk lapan arah mata angin utama.


Foto 2.2 Beginilah kompas lama yang pernah digunakan oleh pelayar China

Panduan menggunakan kompas


-          Berdiri di suatu tempat menghadap objek yang hendak ditentukan arahnya
-          Letakkan kompas di atas permukaan yang rata
-          Pusingkan kompas perlahan-lahan hingga jarum kompas menunjukkan arah utara
-          Letakkan pembaris pada kompas itu hingga hujungnya selaras dengan arah objek
-          Bacalah arah objek itu dengan merujuk pada arah yang ditunjukkan oleh pembaris pada kompas






2.3 Menentukan Kedudukan di Kawasan Sekolah

Yew Kin dan rakan-rakannya diberi tugas oleh guru Geografi untuk menentukan kedudukan pejabat, gelanggang tenis, makmal, pondok bacaan, dewan, surau, kantin dan bilik guru. Guru memberi mereka kompas sebagai panduan. Marilah kita ikuti bagaimana Yew Kin dan rakan-rakannya melakukan tugas tersebut.

            Perhatikan Rajah 2.3 di bawah ini. Yew Kin berdiri di kawasan lapang di tengah-tengah kawasan sekolahnya. Di kawasan sekitarnya kelihatan beberapa bangunan dan yang akan ditentukan kedudukannya. Dia memegang kompas dan menghadap ke pejabat. Jarum kompas itu menunjukkan arah utara.



Rajah 2.3 Arah kedudukan bangunan dan tempat di kawasan sekolah Yew Kin



Dengan berpandukan arah yang ditunjukkan pada permukaan kompas pula, dia pun menandakan kedudukan arah bangunan dan tempat lain. Perhatikan Rajah 2. 3 sekali lagi. Adakah arah kedudukan tempat-tempat itu tepat?. Semaklah kedudukan itu dengan menggunakan kompas.


2.4 Menentukan Kedudukan dalam Peta Lakar

Afiq melukis peta lakar kawasan rumahnya seperti Rajah 2.4 di bawah ini. Dia menandakan arah kedudukan tempat-tempat di sekitar kawasan rumahnya. Marilah kita menyemak arah kedudukan itu. Adakah arah kedudukannya tepat?

Rajah 2.4 Peta lakar kedudukan rumah Afiq

Panduan :
-          Lukis garis lurus utara – selatan merentasi rumah Afiq
-          Tandakan arah yang menghadap ke sekolah sebagai utara dan arah yang menghadap ke rumah pangsa sebagai selatan
-          Lukis garis lurus bersilang dengan garis utara – selatan tadi
-          Tandakan arah timur dan barat
-          Lukis garis lurus di antara utara dengan barat merentasi rumah Afiq. Tandakan arah barat laut dan tenggara
-          Lukis garis lurus di antara utara dengan timur merentasi rumah Afiq. Tandakan arah timur laut dan barat daya

Letakkan kompas di atas peta lakar tersebut. Semaklah kedudukan yang telah ditandakan itu dengan kedudukan di dalam Jadual 2.1 ini.



Jadual 2.1 Arah kedudukan tempat-tempat di sekitar kawasan rumah Afiq

Rumusan



KEMBALI KE ATAS

No comments:

Post a Comment